1. MEMINTA IZIN TERLEBIH DAHULU
Ini adalah mematuhi arahan yang disuruh oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam ayat 27 hingga 29 surah An-Nur yang bermaksud:
27. Hai orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik itu lebih bagimu agar kamu (selalu) ingat.
28.Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu:"Kembalilah", Maka hendaklah kamu kembali Itu lebih baik bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
29.Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk didiami, yang di dalamnya ada keperluanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.
Kita diminta memberi salam, mengetuk pintu ataupun menekan loceng sebanyak tiga kali secara berselang bukannya berturut-turut . Ini adalah bagi memastikan tuan rumah ada di rumah dan kemungkinan besar dia tidak menyahut atau menjawab panggilan kita kerana tugasan atau pun ada masalah lain. Jika kita telah melakukan perkara ini tetapi tiada jawapan maka kita hendaklah pulang. Begitu juga apabila tuan rumah tidak mengizinkan kita untuk masuk maka janganlah kita membantahnya dengan perkataan ataupun perbuatan. Jangan simpan dendam tetapi tanamkan dalam diri sikap baik sangka yang mana kemungkinan waktu ziarah tidak sesuai ataupun dia ada masalah lain.
Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : Apabila seseorang itu telah meminta keizinan sebanyak tiga kali tetapi tidak diberi keizinan maka dia hendaklah pulang.
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ahmad Hambal daripada Qais bin Saad bin Ibadah telah menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W telah datang ke rumahnya dan telah memberi tiga kali salam secara berselang-seli yang mana setiap salam telah dijawab oleh Qais secara perlahan. Ini menyebabkan Rasulullah S.A.W tidak mendengar jawapan itu dan setelah cukup tiga kali berbuat demekian maka baginda S.A.W berpaling untuk beredar dari rumah Qais. Apabila melihat perkara ini, maka Saad terus mengekori Rasulullah S.A.W dan ketika bersaing dengan baginda S.A.W, dia memberitahu bahawa mereka telah menjawab salam tetapi secara perlahan bertujuan supaya baginda S.A.W memberi salam kepada mereka banyak kali sebagai doa buat mereka.Mendengar penjelasan itu maka Rasulullah S.A.W terus menuju kembali ke rumah Qais bersama dengan Saad.
Jika kita menziarahi rumah teman yang begitu erat hubungannya dengan kita dan dia sendiri telah mengizinkan kita untuk masuk ke rumahnya bila-bila masa sahaja maka bolehlah kita berbuat demekian tanpa menunggu izinnya. Hasan Al-Basri pernah menyatakan bahawa beliau membenarkan seorang sahabat beliau masuk bukan sahaja ke dalam rumah malah sehingga ke dapur walaupun dia tidak meminta izin daripada beliau terlebih dahulu.
2. MENJAGA MATA
Kita mestilah menjaga mata agar tidak melihat perkara yang ada di dalam rumahnya terutama apabila kita melawat rumah mutazawwij ( berkeluarga ). Ini bagi memastikan kita tidak terpandang perkara yang haram. Rasulullah S.A.W telah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Abu Daud :'' Sesiapa yang melihat kitab saudaranya tanpa terlebih dahulu mendapat keizinannya maka dia sebenarnya telah melihat neraka''. Jika kitab pun kita dilarang melihatnya tanpa keizinan tuannya, apatah lagi perkara yang lain terutama sesuatu yang merupakan rahsia bagi tuan rumah yang dilawati.Abu Daud telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Basar telah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W apabila melawat seseorang maka baginda tidak akan memandang ke arah hadapan melainkan baginda memaling muka ke arah kiri atau kanan dan barulah memberi salam.Ini bagi mengelak daripada melihat sesuatu yang berada di dalam rumah orang yang dilawat terutama perkara yang haram dilihat.
Di dalam sohih Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan bahawa Rasululllah S.A.W telah bersabda : Sekiranya seseorang itu memandang kepadamu(rumah) tanpa keizinan maka kamu hendaklah melontarnya dan kamu juga dikehendaki menutup dengan kasar kedua matanya sekiranya kamu mampu berbuat demikian.
Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : Sesiapa yang memandang rumah seseorang tanpa mendapat keizinan daripadanya maka tutuplah kedua matanya dengan kasar, maka sesungguhnya aku telah menegah daripada perbuatan itu.
Daripada hadis-hadis ini dapat kita simpulkan bagaimana Islam sangat mengambil berat mengenai penjagaan mata daripada melihat sesuatu yang ditegah apatah lagi perkara haram.Oleh itu, jagalah mata kita daripada memandang sesuatu di dalam rumah orang yang dilawati tanpa mendapat keizinannya terlebih dahulu.Begitu juga ketika berada di mana sahaja agar kita dapat sama-sama menghindari maksiat mata. Ingatlah bahawa setiap anggota badan kita akan menjadi saksi kepada segala amalan kita di akhirat nanti.
3. MENJAGA PERCAKAPAN
Memastikan percakapan kita tidak menyakiti hati tuan rumah dan jangan tinggikan suara sehingga mengganggu ahli rumah yang lain terutama ketika berlangsungnya peperiksaan, waktu malam yang mana kemungkinan akan mengganggu ahli rumah yang lain yang hendak tidur dan sebagainya. Ingatlah firman Allah dalam surah Lukman ayat 19 yang bermaksud : Dan sederhanakanlah kamu semasa berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara itu ialah suara keldai.Jangan berbual perkara yang sia-sia dan melanggar syariat Islam seperti mengumpat dan mencaci. Renungilah maksud firman Allah dalam ayat 12 surah al-Hujurat : wahai orang-orang yang beriman, hindarilah kebanyakan daripda buruk sangka, sesungguhnya sebahagian daripada buruk sangka itu merupakan dosa. Dan janganlah kamu mencari kesalahn orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah kamu suka memakan daging saudara kamu sendiri yang sudah mati? Maka sudah tentu kamu berasa jijik untuk berbuat demekian. Dan takutlah kepada Allah,sesungguhnya Allah Maha Menerima taubat lagi Maha Mengasihani.
Jangan berbual terlalu lama sehingga mengganggu masa tuan rumah terutama jika kita tahu dia mempunyai tugasan lain yang perlu diselesaikan. Berbuallah perkara yang dapat menambah pengetahuan terutama yang bersangkutan dengan pelajaran, masalah umat dan mengerat hubungan serta mahabbah.
4. BERTERIMA KASIH
Mengucapkan terima kasih di atas segala layanan yang telah diberikan.Bersalaman sebelum berpisah di samping mengucap kata-kata yang disukai oleh tuan rumah. Sentiasa menjaga rahsia jika ada sama ada berkaitan dengan dirinya,rumah ataupun ahli yang lain agar persahabatan yang di semai terus subur serta segala permasalahan dapat dielakkan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar